Beliau berkata kemalangan maut membabitkan kanak-kanak termasuk kejadian semalam yang menyaksikan seorang budak lapan tahun maut selepas basikalnya berlanggar dengan sebuah lori sampah dapat dicegah sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing.

Lee turut menarik perhatian tentang kemalangan maut yang meragut nyawa lapan remaja berbasikal  berusia antara 13 hingga 16 tahun di Jalan Lingkaran Dalam berdekatan Tanah Perkuburan Mahmoodiah, Johor Bahru, Johor, tahun lepas.

"Saya berpendapat ibu bapa atau penjaga sekarang memberi kebebasan tanpa kawalan kepada anak-anak mereka yang berumur dari lapan tahun sehingga peringkat remaja dan tidak memberi nasihat serta kesedaran mengenai keselamatan jalan raya.

"Kemalangan maut semalam berpunca daripada pelbagai faktor antaranya kegagalan ibu bapa mengawasi anak mereka, masyarakat juga tidak prihatin. Sepatutnya apabila melihat seorang kanak-kanak menunggang basikal secara berbahaya atau menggunakan jalan yang berisiko, sepatutnya menegur dan beritahu kanak-kanak berkenaan bahawa perbuatan mereka adalah bahaya," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian yang menimpa Mohammad Haekal Rizal Abdullah, 8, pelajar  Sekolah Rendah Taman Koperasi Polis  Fasa 2, Batu Caves, yang maut akibat cedera parah di bahagian kepala selepas basikal yang ditungganginya berlanggar dengan sebuah lori sampah di Jalan Kampung Padang Balang, Sentul, di sini.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, ACP Zulkefly Yahya, kejadian berlaku pukul 2.30 petang dan kawasan kemalangan adalah jalan kampung dan hanya mempunyai satu lorong sempit.

Lee berkata berbasikal adalah aktiviti yang sihat tetapi ia harus dilakukan dengan cara selamat iaitu menggunakan basikal yang selamat tanpa pengubahsuaian selain melakukan aktiviti itu pada waktu sesuai dan melalui jalan yang selamat.

"Kanak-kanak dan remaja sekarang gemar melibatkan diri dalam aktiviti 'basikal lajak' iaitu basikal yang telah diubah suai dan ada yang tidak mempunyai brek seterusnya berlumba sesama mereka. Saya sendiri pernah nampak kumpulan kanak-kanak menunggang basikal secara berbahaya di jalan raya yang sibuk," katanya.

Sehubungan itu, katanya  kerajaan, ibu bapa, pihak sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu bersama-sama mengenal pasti punca serta mencari kaedah terbaik untuk menangani masalah itu agar kejadian seumpama itu tidak berulang. 

Selain itu, katanya  kempen kesedaran keselamatan jalan raya harus dipergiatkan agar kemalangan membabitkan kanak-kanak dan remaja dapat dicegah. - Bernama