Mungkin tiada lagi keseragaman dalam pemakaian kasut sekolah seperti tahun-tahun sebelum ini. Jika dahulu, hanya pelajar yang menjadi seorang pengawas yang berpeluang memakai kasut serta stoking hitam.

Bagaimanapun, dalam tempoh transisi peralihan pemakaian kasut dan stoking hitam mulai tahun depan sehingga tahun 2020, pelajar boleh memilih untuk memakai kasut dan stoking berwarna putih atau hitam.

Pihak sekolah juga tidak dibenarkan memaksa pelajar mereka untuk memakai kasut berwarna hitam sepanjang tempoh transisi berkenaan.

Itu arahan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan menerusi surat pekeliling yang menetapkan pemakaian kasut dan stoking hitam hanya berkuat kuasa pada tahun 2021.

Pastinya penguatkuasaan ini yang dilakukan secara beransur-ansur melegakan ibu bapa terutama mereka berpendapatan rendah. Anak-anak yang masih lagi boleh memakai kasut putih mereka sebelum ini tidak perlu menukar kasut baharu.

Kasut-kasut putih sekolah pun sekarang telah dijual begitu murah kerana pengedar dan penjual berlumba-lumba mengadakan promosi untuk menghabiskan stok mereka sehingga tahun 2020.

Misalnya kasut putih sekolah yang dijual sebuah syarikat menerusi jualan gudangnya hanya serendah RM5 sepasang. Selain itu, terdapat pula promosi beli tiga pasang kasut, percuma satu pasang pada harga hanya RM10.

Berbeza sebelum ini, kasut putih sekolah yang dijual pun paling murah RM20 sepasang.

Justeru, kebanyakan ibu bapa yang berpendapatan rendah serta mempunyai ramai anak bersekolah pastinya akan memilih untuk membeli kasut putih bagi mengurangkan bebanan mereka.

Kos seorang anak yang baru memasuki darjah satu sekolah kebangsaan misalnya tidak kurang RM300 meliputi uniform sekolah, kasut, beg, alat tulis, baju sukan serta yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru.

Jika mempunyai lima orang anak sudah tentu peruntukan yang diperlukan lebih RM1,500. Jumlah bayaran itu tidak termasuk lagi kos untuk menghantar anak-anak mengikut pelajaran di sekolah-sekolah agama.

Bagi ibu bapa yang berkemampuan dan pelajar yang tidak mahu kasut sekolah mereka cepat kotor dan malas untuk menyental, kasut hitam adalah pilihan tepat walaupun harganya melebihi RM25 sepasang.

Secara rasionalnya, kasut berwarna hitam lebih senang dijaga berbanding kasut putih. Kita sering lihat murid sekolah terutamanya apabila tiba hari Rabu, kasut yang dipakai mereka sangat kotor selepas melakukan pelbagai aktiviti khususnya bersukan.

Ibu bapa sekurang-kurangnya perlu menyediakan dua pasang kasut putih jika malas untuk membasuh.

Maka penggunaan kasut hitam ini dapat mengelakkan kasut anak-anak daripada kelihatan kotor sekali gus meringankan bebanan kerja, menjimatkan masa dan wang dalam tempoh jangka panjang.

Bagaimanapun, terpulanglah kepada ibu bapa atau penjaga untuk membuat pilihan sama ada kasut putih atau hitam yang akan dipakai anak-anak mereka pada sesi persekolahan tahun depan sehingga tahun 2020.