Dalam kejadian pada pukul 3 pagi itu, pemandu lori membawa muatan rokok terbabit yang berusia 31 tahun turut berjaya ditahan.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Paddy Abd. Halim berkata, pemandu lori terbabit enggan mematuhi arahan sepasukan penguat kuasa JKDM dengan kerjasama polis yang menahannya berhampiran susur masuk Plaza Tol Kerteh, LPT2 lalu memecut cuba melarikan diri.

"Lori membawa muatan rokok seludup terbabit seterusnya dilihat memasuki persimpangan masuk Plaza Tol Kerteh sebelum cuba merempuh salah satu kaunter plaza tol berkenaan.

"Bagaimanapun, tindakan pantas anggota penguat kuasa JKDM dengan kerjasama polis berjaya memberkas suspek yang cuba melarikan diri," katanya pada sidang akhbar di Pejabat JKDM cawangan Kemaman di Kuala Kemaman dekat sini hari ini.

Paddy berkata, pemeriksaan di dalam lori terbabit telah menjumpai lebih dua juta batang rokok pelbagai jenama dipercayai diseludup dan ia merupakan rampasan membabitkan rokok seludup terbesar di Terengganu pada tahun ini. - K! ONLINE