Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Seri Zulkifli Yahya berkata, menerusi serbuan yang dilakukan kira-kira pukul 7.50 malam itu, kedua-dua lelaki warga tempatan berusia 36 dan 48 tahun ditahan di Lebuh Raya Pulau Indah dan Pelabuhan Klang, Selangor.

“Dalam kedua-dua tangkapan itu, sebanyak 12.3 juta batang rokok berjenama dengan nilai cukai sebanyak RM8 juta telah dirampas.

“Kastam turut merampas sebanyak 2,600 liter minuman keras jenis whiskey berjenama McDowell’s dengan nilai cukai tidak dibayar bernilai RM2 juta,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini.

Zulkifli menambah, kejayaan tangkapan tersebut adalah hasil daripada maklumat orang ramai berkenaan aktiviti penyeludupan tersebut.

“Dalam tangkapan pertama, pasukan kastam telah menahan sebuah lori kontena berisi 10.5 juta barang rokok berjenama U2 Full Flavour dari Vietnam dengan jumlah cukai bernilai RM10 juta.

“Bagi tangkapan kedua pula telah merampas sebuah lori kontena yang berisi 1.8 juta batang rokok berjenama Dinx dan minuman keras yang dipercayai dikilangkan di India dengan nilai cukai berjumlah RM2 juta,” ujarnya.

Kedua-dua suspek telah direman selama lima hari yang berakhir esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut barang larangan Kastam. - K! ONLINE