Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkata, pengenalan dasar baru itu merupakan satu tindakan drastik bagi mengekang kes penyeludupan dan salah ikrar barang dalam aktiviti import eksport.

Menurutnya, ejen kastam ini merupakan perantara antara JKDM dengan pelanggan iaitu pihak pengimport dan pengeksport dan mereka perlu mengetahui lebih mendalam pelanggan-pelanggan mereka bagi mengelak berlakunya sebarang aktiviti tidak telus.

"Melalui pendekatan ini, ejen-ejen penghantar perlu mengenal pasti pelanggan dan barang yang dibawa mereka.

"Pada masa sama, mereka perlu memastikan pelanggan-pelanggan mereka termasuk syarikat yang dikendalikan pelanggan mereka ini wujud kerana banyak kes melibatkan syarikat atau premis yang tidak wujud apabila kita pergi ke premis yang disebutkan," katanya ketika sidang akhbar sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Pengarah-Pengarah Kastam seMalaysia ke-83 di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, jika masalah itu masih berlaku, JKDM akan menggantung lesen ejen-ejen terlibat selama enam bulan dan kemudian membatalkan lesen tersebut.

Katanya, JKDM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak tentang dagangan yang tidak benar dan memanipulasi dokumen.

"Sejak April lalu, kita sudah menggantung 31 buah syarikat atau lesen ejen kastam kerana didapati terlibat dalam penyelewengan dan penyeludupan.

"Syarikat paling banyak digantung adalah di Selangor," katanya. - K! ONLINE