Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Penguatkuasaan dan Pematuhan JKDM, Datuk Zulkifli Yahya berkata, 
pemandu kontena tersebut yang dipercayai cuba menyeludup mercun dan bunga api tanpa permit berjaya dikesan ketika melalui laluan kenderaan berat di ICQS itu pada pukul 4 petang.

Menurutnya, pegawai Kastam berjaya mengesan barangan yang mencurigakan dalam kontena terbabit selepas melalui proses imbasan di laluan kenderaan berat tersebut.

Katanya, barangan yang dibawa pemandu kontena berusia 48 tahun yang merupakan penduduk tempatan juga didapati belum diikrar.

"Hasil pemeriksaan didapati kontena terbabit dipenuhi dengan kotak berisi pelbagai jenis mercun dan bunga api dipercayai dibawa masuk dari negara Thailand.

"Nilai mercun dan bunga api yang dirampas itu dianggarkan RM528,930 manakala jumlah cukai pula RM312,069," katanya pada sidang akhbar di sini petang ini.

Zulkifli memberitahu, rampasan mercun dan bunga api tersebut merupakan yang terbesar di negeri ini pada tahun ini.

"Mercun dan bunga api tersebut dipercayai cuba diseludup ke negara ini untuk memenuhi pasaran tempatan menjelang sambutan Hari Krismas pada 25 Disember ini dan perayaan Tahun Baru Cina pada 16 Februari depan," katanya.

Katanya, kes disiasat dibawah Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967," katanya. - K! ONLINE