Filem terbitan Hollywood yang menampilkan seratus peratus pelakon berdarah Asia termasuk dari Malaysia, Singapura dan Amerika Syarikat itu mula ditayangkan pada awal bulan ini di negara yang dikategorikan sebagai lokasi pasaran filem kedua terbesar di dunia selepas Amerika Utara (Amerika Syarikat dan Kanada).

Namun, kutipan tiga hari pertama tayangan Crazy Rich Asians daripada genre romantik komedi itu hanya berjaya mengumpul kutipan sebanyak AS$1.1 juta (RM4.6 juta) berbanding filem drama jenayah terbitan China, A Cool Fish yang ditayangkan pada tarikh yang sama tetapi berjaya mencatat kutipan mencecah RM100.6 juta.

Jauh sungguh perbezaan kutipan minggu pembukaan antara kedua-dua buah filem itu. Sebelum ditayangkan di China, Crazy Rich Asians sudah ditayangkan di seluruh dunia tiga bulan lebih awal sedangkan A Cool Fish merupakan filem baharu.

Dihasilkan dengan kos cuma RM125 juta, sebelum dita­yangkan di China, Crazy Rich Asians sebenarnya dikategorikan sebagai filem pecah panggung apabila berjaya mengumpul RM936 juta hasil tayangan di seluruh dunia (dengan sebahagian besar kutipan iaitu RM726 juta adalah hasil tayangan di Amerika Utara).

Sebenarnya, Crazy Rich Asians dikhuatiri merupakan sebuah karya seni yang menjadi mangsa kerakusan ‘perang’ politik antara Barat dan Timur.

Sebelum ini, kebanyakan produk filem dari Barat, khususnya Hollywood akan ditayangkan beberapa hari lebih awal di rangkaian pawagam di negara-negara Asia terma­suk Malaysia sebelum ditayangkan di Amerika Utara bagi mengelakkan ia menjadi mangsa cetak rompak.

Namun sebaliknya pula bagi Crazy Rich Asians apabila hanya ditayangkan di China tiga bulan selepas ditayangkan di seluruh dunia, ekoran negara itu dikatakan pada mula­nya enggan membenarkan ia ditayangkan di sana.

Ada dakwaan mengatakan kerajaan China tidak ber­kenan dengan mesej filem itu yang memaparkan kemewahan golongan jutawan bangsa Cina, sedangkan negara tersebut ketika ini sedang giat memerangi masalah korupsi dalam kalangan rakyatnya yang tamak dan ingin cepat hidup mewah dengan cara yang mudah.

Sebenarnya, China sudah mengamalkan dasar ‘sukar buka pintu’ terhadap filem-filem Hollywood sejak akhir-akhir ini dan kemuncaknya terbukti dengan nasib yang menimpa Crazy Rich Asians.

Secara logiknya, filem itu ter­nyata sudah ‘basi’ apabila sampai di China kerana ia sudah boleh ditonton menerusi pelbagai teknologi digital seperti iTunes, Amazon dan Google Play. Sementelah dalam tempoh tiga bulan itu, dikhuatiri filem tersebut sudah banyak dihasilkan dalam bentuk cetak rompak di China.

Perkara tersebut sudah lama menimbulkan masalah kepada penerbit filem Hollywood yang memasarkan produksi mereka di negara itu. Ia juga dikatakan ada kaitan dengan perang ekonomi yang dicetuskan oleh Presiden AS, Donad Trump terhadap China.

Nak dijadikan cerita, saya kebetulan baru sahaja menonton filem terbaharu terbitan Peter Jackson berjudul Mortal Engines di pawagam.

Sama ada secara kebetulan atau tidak, Mortal Engines seolah-olah menggambarkan senario tersebut, yang menyaksikan kuasa Barat (diwakili sebagai London) berusaha untuk menjajah negara Timur (digambarkan sebagai kawasan yang seperti berada di sebalik Tembok Besar China) dengan melancarkan perang.

Apa yang menjadi persoalan buat saya, adakah filem yang sudah mula ditayangkan di seluruh dunia pada awal minggu ini tetapi belum lagi di China akan menerima nasib yang sama seperti Crazy Rich Asians di negara tersebut?