Ahli Dewan Undangan Negeri Jeram, Shaid Rosli berkata, karnival terbesar di Selangor itu akan diadakan di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Jeram, Bandar Puncak Alam.

Katanya, karnival anjuran bersama Universiti Teknologi Mara Puncak Alam itu dijangka dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Kemajuan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun.

“Karnival itu bertujuan merapatkan hubungan penduduk pelbagai kaum di sekitar Jeram sekali gus dapat mengukuhkan perpaduan.

“Selain itu, ia juga bertujuan menyemai keharmonian sempena Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia melibatkan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan komuniti setempat,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Tambahnya, pelbagai acara menarik disediakan sempena karnival tersebut seperti wacana intelek, memanjat dinding, bazar peniaga, pertandingan sepak penalti, pertandingan mewarna dan lain-lain.

Menurut Shaid, selain itu, pengunjung turut berpeluang memenangi hadiah, wang tunai dan motosikal menerusi cabutan nombor bertuah.

“Karnival itu menyasarkan 150,00 pengunjung dalam kalangan pelajar, belia, peniaga tempatan, usahawan muda dan lain-lain,” katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut diminta menghubungi Pusat Khidmat Masyarakat DUN Jeram di talian 03-3396 0036. - K! ONLINE