Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) dalam satu kenyataan berkata, karnival ini adalah anjuran bersama Majlis Sukan Negara (MSN) di mana MSWP diberi peluang untuk menjadi tuan rumah temasya kali ini.

Menurutnya, sebanyak 41 acara dipertandingkan membabitkan 10 jenis sukan iaitu olahraga, gimrama, menembak, memanah, boling padang, akuatik (renang dan terjun), silat, wushu, dan tinju. Karnival ini membabitkan 2,040 atlet termasuk jurulatih dan pegawai dari setiap negeri.

“Penganjuran karnival ini merupakan inisiatif bagimemberi pendedahan kepada atlet muda berumur dari 13 hingga 15 tahun bertanding di peringkat kebangsaan dan berpeluang untuk  terus kekal di dalam program pencarian pelapis.

“Sebagai tuan rumah, MSWP sentiasa komited untuk menjayakan karnival ini selain dapat membantu Majlis Sukan Negeri dan persatuan-persatuan sukan mencari atlet baru yang berpotensi untuk mewakili negeri ke Sukan Malaysia (SUKMA) pada masa hadapan,” katanya.

Turut hadir merasmikan majlis, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Dr Aminuddin Hassim dan Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

MSWP memberitahu, program tersebut dilihat mampu menarik banyak pihak untuk bekerjasama dalam memupuk dan mencungkil bakat anak muda di negara ini.

“Justeru, diharap temasya seperti ini dapat diteruskan sekali gus mampu melahirkan atlet bertaraf nasional dan antarabangsa pada masa depan,” ujarnya. - K! ONLINE