Pengerusinya, Helmi Yusof berkata, program yang berlangsung di Wangsa Walk Mall, Wangsa Maju itu akan berlangsung selama 13 jam bermula pukul 7 pagi.

Katanya, tema yang akan digunakan ialah ‘Sayangi Malaysiaku’ yang bertujuan untuk memupuk semangat muhibah serta cintakan negara dalam kalangan anak muda melalui pelbagai program yang telah dirancang.

“Program ini akan disempurnakan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad dan akan turut dihadiri Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad serta Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Dr. Tan Yee Kew yang akan menyertai larian amal.

“Selain larian amal, pelbagai aktiviti menarik menanti para pengunjung antaranya cuci kereta amal, persembahan artis, pertandingan mewarna, sukan memanah, konvoi motosikal, gerai jualan dan cabutan bertuah,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Tambahnya, program yang dianjurkan Persatuan Belia Sri Langkawi 2 itu diadakan bagi menyemarakkan lagi cinta kepada Malaysia yang bakal menyambut hari kemerdekaan yang ke-61.

Orang ramai boleh menghubungi urusetia di talian 018-373 7250 untuk maklumat lanjut. - K! ONLINE