Presidennya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, karikatur itu seakan-akan mengambarkan Musa individu yang tamak dan salah guna dana Yayasan Sabah.

Menurut Zulkarnain, tindakan tidak bertanggungjawab itu telah dikongsi oleh pengguna laman sosial Facebook atas nama akaun 'Ignatius Sipaun' daripada laman rasmi Warisan Anak Sabah.

"Tuduhan individu terbabit adalah tidak berasas. Apakah bukti beliau (Musa) seorang perompak sedangkan Jabatan Audit Negara mengiktiraf pengurusan kewangan negeri.

"Malah, sepanjang 15 tahun di bawah pentadbiran Musa, Jabatan Audit turut memperakukan pengurusan kerajaan negeri sijil tanpa teguran," katanya selepas membuat laporan polis di Balai Polis Karamunsing di sini hari ini.

Zulkarnain berkata, tindakan pengguna Facebook itu adalah berniat jahat dan sengaja mencipta persepsi negatif terhadap Musa dan barisan kepimpinan Barisan Nasional (BN). - K! ONLINE