Bendahari Masjid Jamek Sungai Nibong Besar, Mohd. Noor Kamarudin berkata, jajaran itu pada mulanya dipersetujui untuk dibina di belakang masjid seperti perjanjian pada 2016 antara SRS Consortium dan Anggota Jawatankuasa (AJK) Pembinaan Masjid Sungai Nibong Besar berkenaan.

"Namun selepas Aidilfitri baru-baru ini, kami (AJK) Pembinaan Masjid Sungai Nibong Besar telah dipanggil untuk berbincang dengan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan SRS Consortium berhubung perubahan serta cadangan baharu jajaran tersebut.

"Kami membantah jajaran itu diubah kerana ia akan menyebabkan kawasan asal masjid di atas tanah wakaf itu terjejas dan lagipun lebih 600 kubur umat Islam turut terlibat dengan perubahan ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sebelum itu, beliau bersama kira-kira 100 orang kariah masjid mengadakan demonstrasi aman di pekarangan Komtar di sini membantah cadangan perubahan jajaran LRT itu sebelum menyerahkan memorandum bantahan kepada Pegawai Khas Timbalan Ketua Menteri I, Roshidi Hussin.

Mohd. Noor berkata, berikutan cadangan perubahan jajaran itu, pembinaan bangunan baharu Masjid Jamek Sungai Nibong Besar membabitkan kos kira-kira RM7.5 juta itu terpaksa dihentikan dan AJK serta kariah masjid mendesak projek itu diteruskan semula supaya dapat disiapkan mengikut jadual menjelang Mei 2021. – Bernama