Menterinya Lim Guan Eng berkata kementerian berhasrat menjual kapal layar tersebut pada harga tertinggi agar Malaysia beroleh kembali kira-kira US$250 juta (RM1 bilion) - harga yang dilaporkan bagi kapal berkenaan.

"Kapal itu akan berada di bawah jagaan kerajaan Malaysia. Tugas kementerian ialah mendapatkan nilai terbaik bagi kapal tersebut.

"Jika kita biarkan begitu sahaja, setiap hari kita perlu bayar kos penyenggaraan dan aset itu juga akan merosot dan mengalami susut nilai," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini semalam.

Guan Eng berkata, Peguam Negara, Tommy Thomas akan menyediakan dokumen berkaitan agar kawalan sewajarnya dapat dikenakan ke atas kapal layar itu.  

Guan Eng juga berkata, kapal layar mewah berkenaan akan dipamerkan kepada umum sebelum dijual.

"Kita harap orang ramai dapat melihatnya. Mungkin tidak keseluruhan kapal tetapi setidak-tidaknya sebahagian," katanya.

Hari ini Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berterima kasih kepada Presiden Indonesia Joko Widodo dan kerajaan negara itu atas bantuan mereka dalam menyerahkan Equanimity yang dirampas oleh pihak berkuasa republik tersebut kepada Malaysia.

Kapal layar itu dilaporkan dimiliki oleh ahli perniagaan Malaysia yang kini dalam buruan Low Taek Jho, juga dikenali sebagai Jho Low.

Kapal itu disita di Bali pada Februari namun pada April mahkamah Indonesia memutuskan  kapal tersebut tidak harus dirampas dan perlu dikembalikan kepada pemiliknya. Bagaimanapun, kerajaan Indonesia merampasnya sekali lagi pada Julai.

Kerajaan Indonesia dilaporkan bersetuju menyerahkan kapal tersebut kepada Malaysia. Kapal itu kini dipercayai dalam pelayaran ke negara ini. - Bernama