Pegawai AADK Manjung Sharudin Abdul Salam berkata lelaki berumur 28 tahun itu turut memberi alasan mahu ke masjid bagi mengelak daripada diperiksa sebelum dia ditahan kira-kira pukul 2 petang Selasa.

"Lelaki tersebut telah dua tahun terlibat dalam penyalahgunaan dadah. Dia bekerja kampung dan memberi alasan mahu menunaikan solat Zuhur di masjid bagi mengelak daripada ditahan. 

"Dia menyimpan peralatan seperti gunting dan botol kecil  yang sudah diubahsuai untuk  untuk menghisap dadah di dalam kopiah yang dipakainya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Sharudin berkata hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Beliau berkata pihaknya turut menahan tujuh individu lain berusia antara 18 hingga 37 tahun disyaki penagih dadah di lapan lokasi berasingan di Lekir, Sitiawan dan Pantai Remis. 

"Semua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (APD) 1983 untuk tindakan lanjut," katanya. 

Menurut Sharudin, operasi itu membabitkan tujuh anggota yang bermula pukul 8 pagi dan berakhir pukul 4 petang dan serbuan dijalankan hasil maklumat orang awam dan risikan pihaknya. - Bernama