Nur Rabiatul Adawiyah Md Yusof, 7, dari Kampung Sungai Burung, Tanjung Piandang di sini disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raja Pemaisuri Bainun, Ipoh pada 2.45 pagi ini.

Menurut bapa mangsa, Md Yusof Che Yon, 43, pada 31 Ogos lepas, anak tunggalnya itu menerima risalah yang menawarkan kupon potongan harga dan promosi taman tema air yang diadakan sempena pesta berkenaan di Pusat Bandar Parit Buntar.

"Selepas menerima kupon promosi itu, mangsa bersungguh-sungguh mengajak saya dan isteri pergi ke sana dan kami hanya bersetuju pada pagi 2 Sept dan pergi pada waktu petangnya.

""Arwah menunjukkan wajah yang sungguh gembira sebaik diberitahu hajatnya akan dipenuhi. Pada hari  itu saya melihat arwah menunjukkan keterujaan luar biasa  apabila sempat memakai telekung solat milik isteri saya dan peluk saya serapat-rapatnya beberapa kali sambil mengucapkan terima kasih.

"Tabiat luar biasa arwah pada mulanya mengejutkan saya, namun memikirkan dia mungkin terlalu gembira dapat bermain di Pesta Zoo Belon, saya tidak memikirkan perkara bukan-bukan," katanya ketika dihubungi media di sini hari ini.

Md Yusof berkata setibanya dia dan keluarga di lokasi pesta sekitar pukul 5.30 petang dan selepas membuat rakaman siaran langsung FBLive, beliau pergi meninjau premis niaga lain yang terdapat di tapak pesta itu, manakala Nur Rabiatul Adawiyah dipantau isteri dan ibu mentuanya.

"Tidak sampai sepuluh minit meronda gerai niaga, saya terdengar suasana  kecoh berlaku di taman tema itu dan apabila saya kembali ke lokasi, terkejut melihat isteri menangis memberitahu Nur Rabiatul Adawiyah lemas.

"Penganjur pesta yang membantu membawa anak saya ke Hospital Parit Buntar untuk mendapatkan rawatan, sebelum anak saya dipindahkan ke Hospital Raja Pemaisuri Bainun, Ipoh bagi pemeriksaan lanjut," katanya.

Md Yusof berkata sewaktu Nur Rabiatul Adawiyah menerima rawatan, doktor bertugas memaklumkan paru-paru anak tunggalnya dimasuki air dan turut memberi kesan kepada otak.

"Pukul 2 pagi tadi, doktor memberitahu saya keadaan anak saya lemah dan  jantungnya pula bermasalah. 

"Empat puluh lima minit kemudian doktor memaklumkan anak saya sudah tiada dan berita itu amat memilukan perasaan kami sekeluarga kerana tidak sangka bakal kehilangan anak tunggal dalam tempoh  masa singkat," katanya sambil menambah jenazah anaknya akan dikebumikan di tanah perkuburan Masjid Jamek Sungai Burung.

Sementara itu, Majlis Daerah Kerian (MDK) mengeluarkan notis penggantungan lesen aktiviti taman tema air di Pesta Zoo Belon, Dataran Alamanda di sini berkuat kuasa serta-merta susulan kemalangan kanak-kanak lemas pada 2 September lalu.

Yang Dipertuanya, Helmi [email protected] berkata tindakan menggantung lesen taman tema berkonsepkan zoo belon air itu akan dilaksanakan sehingga siasatan polis terhadap kemalangan tersebut selesai.

Katanya, MDK sebelum ini meluluskan penganjuran Ekspo Bazar Ekonomi dan Pesta Zoo Belon di lokasi kejadian mulai 31 Ogos hingga 17 September ini.

"Hari ini, saya sendiri bersama pegawai bahagian pelesenan MDK turun meninjau lokasi kejadian dan berjumpa dengan penganjur pada jam 9 pagi," katanya ketika dihubungi. - Bernama