Mangsa, Ku Nurul Amirah Ku Fazli, 33, menghembuskan nafas terakhirnya ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh, Selangor kira-kira pukul 9 pagi.

Dalam kemalangan tersebut, suami Ku Nurul Amirah, Muhd. Ridzo Fadzly Rosely, 37, dan anak bongsu mereka, Ahmad Ariffin, 2, rentung apabila kereta dinaiki terbakar selepas merempuh belakang sebuah treler.

Ku Nurul Amirah mengalami kecederaan parah pada kepala manakala anak sulungnya, Ahmad Danish, 3, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Adik ipar kepada Allahyarham Ku Nurul Amirah, Farahhanan, 34, berkata, dia dimaklumkan kakak iparnya itu meninggal dunia kira-kira pukul 9.45 pagi.

"Jenazah kakak ipar dibawa pulang ke kampung di Alor Setar untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan bersebelahan kubur suami dan anak bongsunya di Tanah Perkuburan Islam Masjid Hidayatus Solihin," katanya ketika ditemui di masjid tersebut di sini hari ini.

Katanya, keadaan anak saudaranya, Ahmad Danish yang trauma sejurus kejadian kini semakin baik.

"Danish sudah biasa dengan saya dan neneknya kerana kami menjaganya sejak kecil dan hanya dibawa tinggal bersama abang dan kakak ipar pada Oktober tahun lalu.

"Cuma, kadang-kadang Danish seakan-akan terlupa dengan memanggil ibu dan ayahnya ketika mahu minum susu, walaubagaimanapun dia tidak menangis," ujarnya.

Tambahnya, Ahmad Danish akan dijaga oleh keluarganya serta keluarga sebelah kakak ipar.
Kosmo! pada 4 September lalu melaporkan dua beranak rentung apabila kenderaan dinaiki terbakar selepas merempuh belakang sebuah treler di KM 9.2 Latar, Kuala Selangor. - K! ONLINE