Nur Wadihan Wira Sudepja,10, dengan bantuan bapa, Wira Sudepja Rabu, 43, yang menolak basikal roda tiga yang dinaikinya menyertai kategori sprint meliputi larian sejauh 5 kilometer (km), berbasikal (32km) dan tambahan larian (5km) dengan catatan masa tiga jam 34 minit.

Serebral palsi merupakan penyakit spastik diplegia atau gangguan pergerakan otot yang gagal berfungsi secara normal.

Menurut Wira Sudepja, beliau amat bersyukur dapat menamatkan acara yang pertama kali disertai oleh mereka sekali gus berupaya mencipta satu rekod baharu di negara ini.

Jelasnya, anak bongsu daripada dua beradik itu berjaya menamatkan acara dengan keadaan selesa dan tahap kesihatannya berada pada tahap terbaik sewaktu tiba di garisan penamat.

"Pada awal larian dan kayuhan basikal, Nur Wadihan sedikit meragam sehingga menyebabkan saya terpaksa berhenti untuk memeluknya sehingga dia kembali selesa.

"Kanak-kanak yang menghidap serebral palsi ini hanya terlantar dan tidak mampu bercakap. Jadi, saya tidak tahu masalahnya ketika dia meragam dan hanya boleh memeluknya agar kembali tenang," katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat acara Kerian International Duathlon di sini hari ini.

Pengiktirafan kanak-kanak perempuan serebral palsi pertama menyertai kejohanan duathlon yang diberikan kepada Nur Wadihan itu disampaikan oleh Pengurus Pembangunan Perniagaan MBOR, Edwin Yeoh.

Hadir memberi sokongan moral kepada Nur Wadihan iaitu ibunya, Nur Murni Dona Mohd. Nordin, 44, dan kakak, Nur Wirdani, 16. - K! ONLINE