Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang tadi, MPV jenis Toyota Innova dinaiki enam sekeluarga termasuk mangsa, Abdul Majid Syed Haniff Khan hilang kawalan selepas tayar belakang sebelah kiri kenderaan tersebut  pecah.

Abdul Majid yang cedera parah pada kepala meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Empat lagi mangsa termasuk bapa kepada Abdul Majid iaitu Syed Haniff Khan Shaik Abd. Kadar, 40, yang cedera dikejarkan ke hospital sama. Seorang mangsa tidak mengalami kecederaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Sazalee Adam berkata, kemalangan berlaku apabila kenderaan jenis Toyota Innova itu terbabas ke kanan jalan selepas tayar belakang sebelah kiri pecah.

"Kenderaan tersebut kemudian merempuh pembahagi tengah jalan sebelum melanggar bahagian hadapan kanan sebuah MPV jenis Toyota Ipsum," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, pemandu Toyota Ipsum berusia 56 tahun tidak mengalami kecederaan. - K! ONLINE