Pejabat Komunikasi Strategik Markas Pemerintah Armada Barat Pangkalan TLDM berkata, mangsa, Nur Maizatul Alya Abdullah merupakan anak kepada seorang anggota TLDM yang kini sedang mengikuti kursus di KD Pelandok.

Menurutnya, dalam kejadian pada pukul 8 pagi itu, terdapat seorang saksi perempuan berusia 30-an mendengar bunyi dentuman yang kuat di bahagian balkoni rumahnya di tingkat tiga dan ternampak seorang kanak-kanak tertiarap di lantai kaki lima bangunan.

“Saksi kemudiannya membawa kanak-kanak tersebut ke wad kecemasan 96 Hospital Angkatan Tentera Lumut bagi rawatan kecemasan.

“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia sebelum dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Komander Pangkalan Lumut, Laksamana Pertama Roslan Mohd. Yunus menzahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa.

Beliau turut mengingatkan kepada semua ibu bapa agar lebih prihatin dan melaksanakan pemantauan serta mementingkan aspek keselamatan anak-anak ketika berada di rumah.

Katanya, jenazah mangsa dijangka dikebumikan di kampung halaman keluarga di Bandar Jengka, Pahang. - K! ONLINE