Jasad kanak-kanak itu dituntut ahli keluarganya di Jabatan Forensik Hospital Melaka selepas proses bedah siasat selesai dijalankan kira-kira pukul 9.50 pagi.

Jenazah kemudian dibawa ke Masjid Jamek Serkam sebelum dikebumikan pada pukul 11 pagi dengan disaksikan kira-kira 30 orang ahli keluarga terdekat termasuk ibu bapa kandung mangsa.

Sementara itu, bapa angkat mangsa ketika ditemui enggan mengulas lanjut mengenai insiden itu dan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan.

"Maaf, mohon beri ruang kepada kami dan saya tidak mahu mengulas lanjut kerana tidak mahu menganggu siasatan, lagi pun dia (penjaga) adalah saudara saya, biarlah polis yang siasat," katanya.

Semalam Kosmo! melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun meninggal dunia dipercayai didera oleh sepasang suami isteri yang juga penjaganya di sebuah rumah di Kandang di sini kelmarin.

Mangsa telah dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Melaka oleh penjaganya itu dalam keadaaan tidak sedarkan diri kira-kira pukul 2 pagi sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Satu laporan polis telah dibuat oleh pihak hospital selepas mendapati terdapat kesan lebam pada bahagian kepala dan paha mangsa.

Susulan kejadian itu, pasangan suami isteri berusia 45 dan 36 tahun itu ditahan serta polis mendapat perintah reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Nor Yhazid Idris ketika dihubungi hari ini memberitahu punca kematian kanak-kanak itu masih dalam siasatan dan pihaknya menunggu laporan toksikologi. - K! ONLINE