Dalam kejadian pada pukul 4.30 petang tersebut, ibu mangsa dikatakan gagal menemui anaknya, Muhammad Azizan Rosli meskipun sudah mencari di sekitar kawasan perkampungan dan rumah saudara-mara berhampiran.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, menurut bapa mangsa, Rosli Ghani, 57, yang bekerja sebagai pemandu teksi sebelum keluar bekerja lebih kurang pukul 10 pagi, anak lelakinya itu sedang tidur di dalam bilik.

“Bagaimanapun, kira-kira pukul 3 petang, ibunya meninggalkan mangsa di rumah kerana perlu menghadiri majlis tahlil di Masjid At-Taqwa yang terletak di dalam kawasan kampung. Pada ketika itu, kanak-kanak lelaki berkenaan sedang menonton televisyen.

“Selepas pulang dari masjid pada pukul 4.30 petang, ibunya mendapati mangsa tiada di dalam rumah dan sekitar kawasan kampung sebelum bertindak membuat laporan polis,” katanya hari ini.

Tambah Fadil, kali terakhir pelajar Sekolah Kebangsaan Bandar dekat sini dilihat dalam persalinan baju jersi berwarna biru dan seluar hitam. - K! ONLINE