Ketua Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr. Ding Lay Ming berkata, kanak-kanak tersebut kini dirawat dan dipantau di Hospital Taiping. 

“Kanak-kanak berkenaan telah dimasukkan ke wad di Hospital Taiping pada Khamis lalu selepas digigit anjing jirannya secara tiba-tiba tanpa provokasi terhadap haiwan berkenaan. 

“Mangsa kini diberikan rawatan terhadap luka yang dialami selain diberikan vaksin rabies,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini. 

Tambah Lay Ming, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Larut, Matang dan Selama akan memastikan mangsa mendapat dos lengkap rabies dengan dos keempat akan diberikan pada 21 Februari depan. 

Katanya, anjing berkenaan telah dilupuskan pemiliknya manakala sampel yang diambil daripada anjing itu telah diambil pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar. 

“Sampel itu kini sedang diuji oleh Institut Penyelidikan Veterinar,” katanya. 

Pada 14 Januari lalu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar mengumumkan Mukim Taiping dan Bukit Gantang di dalam daerah Larut, Matang dan Selama diwartakan sebagai kawasan jangkitan angjing gila atau rabies.  - K! ONLINE