Dalam kejadian kira-kira pada pukul 6 petang itu, difahamkan mangsa, Mohd. Zafran Akhasa Mazlan terjatuh ke dalam lombong selepas bermain sendirian dan selipar dipakainya ditemui terapung di dalam lombong berkenaan. 

Pegawai Operasi Zon 3, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd. Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6 petang sebelum sepasukan anggota bergegas ke tempat kejadian. 

"Tiba di lokasi, anggota terus menjalankan operasi mencari dan menyelamat di permukaan air di lombong berkenaan. 

"Anggota menghadapi kesukaran untuk meneruskan operasi memandangkan keadaan yang gelap dan pencarian di dasar lombong dengan kedalaman 10 meter itu bersambung pada awal pagi tadi," katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi. 

Tambah Shazlean, mangsa bagaimanapun ditemui terapung oleh pasukan penyelamat pada pukul 7.04 pagi ketika pencarian di permukaan lombong dijalankan. 

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang turut hadir di lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. - K! ONLINE