Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ampang, Timbalan Penguasa Bomba, Ariff Mohamed Kassim berkata, ketika kejadian mangsa, Mohamad Farhan,10, sedang bermain dalam sungai tersebut bersama tiga orang rakannya kira-kira pukul 7 malam.

“Ketika asyik bermain, Farhan dibawa arus deras dan tidak dapat dicapai oleh rakannya sebelum hanyut ke kawasan sungai yang lebih dalam.

“Rakannya yang terselamat memaklumkan perkara tersebut kepada bapa mangsa dan kemudian bertindak mencari anaknya itu sebelum menemuinya kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online hari ini.

Ariff menambah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.55 malam dan seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ampang dikejarkan ke lokasi kejadian lima minit kemudian.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, anggota mendapati mangsa berjaya diselamatkan oleh orang ramai dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Anggota bomba kemudian memberi bantuan pernafasan (CPR) sebelum di bawa ke Hospital Ampang untuk menerima rawatan lanjut,” ujarnya. - K! ONLINE