Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang 21 Julai lalu, mangsa, Mohamad Saiful Hazami Mat Ghani mandi-manda bersama beberapa rakannya di sebatang anak sungai di Sungai Tendong.

Mohamad Saiful Hazami berkata, semasa sedang mandi dia berasa hendak membuang air besar sebelum mengambil keputusan untuk pulang ke rumah bersendirian.

"Semasa melalui satu jalan kecil saya melihat sebahagian sarang tebuan di atas sebatang pokok jatuh ke tanah. Tiba-tiba saya berasa sakit teramat sangat di bahagian belakang badan dan kepala.

"Saya sempat melihat berpuluh-puluh ekor tebuan mengerumuni saya. Saya melarikan diri ke rumah jiran berhampiran meminta pertolongan dan dihantar ke Klinik Kesihatan Tendong," katanya ketika ditemui di Wad Kanak-kanak Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini hari ini.

Menurut murid Sekolah Kebangsaan Othman Talib (1), Tendong itu, dia berasa sakit dan pedih di bahagian kepala, belakang badan dan punggung akibat kejadian itu sehingga terasa amat sakit jika berbaring.

Sementara itu, ibu mangsa, Noraini Ismail, 46, berkata, semasa di klinik tersebut anaknya terpaksa menahan kesakitan dan lebih mengejutkan apabila pegawai perubatan memberitahu terdapat lebih 100 kesan sengatan di bahagian belakang badannya. - K! ONLINE