Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Fadzil Hashim berkata, kejadian tersebut terbongkar selepas kanak-kanak terbabit yang mempunyai masalah pembelajaran memberitahu kepada guru bahawa dia telah ditumbuk di muka oleh bapanya.


Menurutnya, kanak-kanak itu yang belajar di tahun tiga memaklumkan kejadian tersebut selepas salah seorang guru di sekolah itu bertanyakan kesan lebam di mukanya kira-kira pukul 8 pagi.


"Guru berkenaan yang kemudian membuat pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua belah tapak kaki murid itu terdapat kesan melecur.


"Bagaimanapun murid itu memberitahu kakinya telah terkena besi panas," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Fadzil menambahnya, guru tersebut yang mengesyaki murid terbabit didera oleh ayah kandungnya telah membawa murid itu ke Balai Polis Pendang untuk membuat laporan.


Katanya, murid berkenaan kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk rawatan lanjut.


"Polis telah menahan bapa mangsa yang berusia 34 tahun pada pukul 4.30 petang tadi untuk siasatan.


"Selepas ini polis juga akan soal siasat ibu murid terbabit dan beberapa individu terdekat untuk mengenal pasti motif kejadian," katanya.


Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. - K! ONLINE