Kejadian itu disedari selepas satu video berdurasi 31 saat tular melalui aplikasi WhatsApp sejak pagi semalam.

Menerusi video terbabit, seorang kanak-kanak lelaki memakai baju berwarna merah sedang meneguk arak sambil dirakam orang dewasa dipercayai ahli keluarga kanak-kanak itu.

Susulan itu, orang awam melaporkan kejadian kepada pihak polis mendakwa ahli keluarganya memaksa dia minum minuman keras itu sebelum ahli keluarga kanak-kanak tersebut turut tampil membuat laporan menafikan insiden itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor, Senior Asisten Komisioner Md. Yusof Ahmad berkata, siasatan awal pihaknya mendapati ibu bapa kanak-kanak tersebut memberitahu anak mereka meminum sendiri arak tersebut.

"Ibu bapa kanak-kanak ini beri tahu anak dia ambil sendiri tin arak yang diletakkan di atas almari tempat ibadah di rumah mereka.

"Kanak-kanak ini ditinggalkan sendiri ketika kejadian, budak-budak dia ingatkan air coca-cola jadi dia minumlah," katanya ketika ditemui di Taman Setia Tropika di sini semalam.

Md. Yusof berkata, pihaknya kini masih dalam siasatan berhubung kejadian ini namun tiada tangkapan dilakukan setakat ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. -K! ONLINE