Walaupun kini hanya enam buah rumah sahaja yang baru dicat dengan warna-warna ceria bak pelangi namun penduduk sudah terasa tempias apabila orang luar tiba-tiba mula masuk mencari dan mengunjungi kampung itu yang terletak tidak sampai 10 minit dari pusat bandar.

Ini gara-gara gambar-gambar yang tular dalam media sosial dan juga berikutan panorama rumah pelangi dapat dilihat dari jauh sama ada oleh orang-orang yang menelusuri Sungai Kelantan mahupun melalui udara kerana rumah dicat termasuk pada bahagian atap.

Salah seorang pemilik rumah, Rosfadishah Yusoff, 44, berkata, warna-warna terang mampu dilihat dengan mata kasar dari Pasir Pekan yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari kampung itu.

"Ada pelawat dari Pasir Pekan beritahu dia terkejut lihat rumah-rumah pelangi dari seberang sungai dan terus datang mencari kampung kami ini," katanya ketika ditemui di sini hari ini. - K! ONLINE