Dalam kejadian pukul 4.30 pagi itu, Evelyn Ang Gek Suan, 44, mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala dan rahang manakala dua peserta lain, Amiruddin Hamid, 37, dan Ahmad Hadafi Jus, 42, me­ngalami kecederaan pada kepala serta kaki.

Nahas berlaku selepas lelaki berusia 28 tahun yang memandu kereta Proton Iswara merempuh bahagian belakang peserta ketika melalui jalan itu.

Insiden malang itu telah membuka banyak mata, ada yang memberikan respons positif dan ada juga yang menyuarakan pendapat negatif.

Bagaimanapun, banyak pihak mula menuding jari untuk mencari kesalahan orang lain, seakan-akan mahu ‘mencuci tangan’ sendiri.

Penganjur, Syarikat Earth Runners Int. Group Sdn. Bhd., dituduh mengadakan ‘acara larian haram’ selepas gagal mendapatkan lesen penganjuran daripada Pesuruhjaya Sukan dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dilaporkan membuat keputusan drastik untuk meminda Akta Pembangunan Sukan 1997 bagi mengetatkan kawal selia penganjuran ­acara-acara sukan pada sidang Parlimen akan datang.

Badan induk sukan olahraga negara, KOM pula tidak mahu berkompromi dengan mana-mana penganjur acara larian atau maraton yang didakwa bersikap tamak dan hanya mementingkan wang ringgit.

Persoalannya, mengapa baru sekarang mahu mengambil tindakan ke atas penganjur?

Mengapa selepas ada kemalangan yang hampir meragut nyawa peserta baru masing-masing bercakap tentang pe­raturan dan undang-undang?

KCIM bukan satu-satunya acara maraton yang dianjurkan di negara ini.

Sepanjang tahun 2017, boleh dikatakan hampir setiap ­minggu ada acara yang dianjurkan sama ada larian santai atau fun run sejauh lima kilometer (km), 10km, separuh maraton (21km), maraton penuh (42km) trail mahupun ­ultra maraton.

Ketika rakyat Malaysia disaran mengamalkan gaya hidup sihat dan melibatkan diri de­ngan aktiviti-aktiviti berkaitan sukan, penganjuran acara larian dianggap sebagai satu platform terbaik untuk merea­lisasikan impian itu.

Setiap kali acara larian diadakan, sambutan tidak pernah mengecewakan.

Ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia semakin memen­tingkan penjagaan ke­sihatan diri.

Bagaimanapun, istilah ‘pelari haram’ yang diberikan kepada peserta yang menyer­tai acara larian yang tidak mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa adalah terlalu kejam.

Bagaimana peserta mahu memastikan setiap acara yang mereka sertai itu mendapat kebenaran atau sebaliknya?

Contohnya, KCIM yang diadakan baru-baru ini.

Penganjur mungkin mengambil masa seminggu, sebulan atau setahun untuk mengiklan dan mempromosikan acara larian itu.

Penganjur juga telah mendapatkan bantuan daripada pihak berkuasa tempatan, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Sukarelawan Rela, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, pasukan medik dan sukarelawan untuk memastikan kelancaran acara itu.

Apabila berlaku kejadian yang tidak diingini ada pihak yang turut menyalahkan peserta.

Bukan senang hendak menjadi seorang pelari maraton.

Selain membelanjakan wang ringgit untuk membayar yuran penyertaan, kos pengangkutan dan penginapan, membeli kelengkapan diri seperti kasut, seluar dan makanan kesihatan yang memberi tenaga, peserta juga perlu mengorbankan masa mereka.

Mengapa kami dituduh sebagai ‘pelari haram’ sedangkan kami tidak pernah diberitahu tentang syarat untuk menganjurkan sesuatu acara larian?

Jadi, kami berharap agar pihak-pihak berkuasa mencari kaedah terbaik untuk menyelesaikan masalah ini.

Jangan patahkan semangat rakyat Malaysia untuk mengamalkan gaya hidup sihat ini.