Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, mangsa, Nurul Asiqin Mohamad, 27, yang berasal dari Raub, Pahang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, siasatan awal pihaknya mendapati, ketika kejadian mangsa yang memandu secara sendirian dari arah Saujana Putra menghala ke tempat kerjanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

"Setibanya di lokasi kejadian, kereta mangsa yang dipercayai dipandu laju telah hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan di tepi lebuh raya terbabit. Susulan pelanggaran itu, kereta mangsa terhumban hampir 50 meter dari bahu jalan lebuh raya terbabit.

"Mangsa juga dipercayai terpelanting keluar dari keretanya kerana ketika anggota sampai mayat mangsa berada di luar kereta yang terbalik dan remuk pada bahagian depan dan belakang,"katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azizan berkata, mayat mangsa yang juga pengurus tugasan syarikat penerbangan dibawa ke Hospital Banting untuk dibedah siasat.

Jelas beliau, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan sebenar dan orang ramai atau saksi kejadian boleh menyalurkan maklumat terbabit ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03- 3187 2222.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. - K! ONLINE