Nur Syafiza atau dikenali sebagai Ija dilaporkan menghilangkan diri dari asrama sebuah sekolah menengah di Pekan Kuala Selangor, awal September tahun lalu. 

Menurut Siti Nur Syaikhah, 22, berkata, Ija disedari hilang selepas tidak hadir menduduki peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sekolahnya. 

Katanya, Ija yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik itu tidak pernah memaklumkan sebarang masalah dialaminya pada ahli keluarga atau rakan sekolah. 

"Sehingga kini, saya masih buntu punca Ija menghilangkan diri begitu sahaja. 

"Sudah 10 bulan, kami sekeluarga berusaha mengesan Ija termasuk di kawasan sekitar Klang, Kuala Selangor dan Shah Alam hasil maklumat orang ramai selepas hebahan dilakukan di laman sosial Facebook sebelum ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Nur Syaikhah menambah, tanggungjawab menjaga Ija terletak pada bahunya selepas kematian ibu bapa mereka sejak lapan tahun lalu. 

Jelasnya yang berasal dari Sungai Sireh, Tanjung Karang, kehilangan adiknya tanpa sebarang berita menyebabkannya sentiasa risau akan keselamatan Ija.

Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Nur Syafiza diminta menghubungi Nur Syaikhah di talian 019-9127174 atau 012-2654580. - K! ONLINE