Robiah Ibrahim, 58, pernah ‘berpantang maut sebelum ajal' apabila bergelut dengan haiwan karnivor itu selama 15 minit sehingga bajunya terkoyak dan cedera di bahu kiri serta pinggang kanan.

Menceritakan kembali detik cemas itu, Robiah atau mesra dipanggil Kak Yah berkata, kejadian itu berlaku pada tahun 2009, kira-kira pukul 8 pagi ketika dia menoreh getah seorang diri.

Katanya, selepas sejam menoreh getah di atas sebuah bukit, tiba-tiba bahagian belakangnya terasa berat dan rasa sakit di bahagian bahu kiri akibat dicakar.

“Saya bertindak melepaskan diri selepas menyedari seekor harimau berada di atas belakang.

“Ketika berdepan dengan harimau itu saya tiba-tiba jadi kuat semangat dan tidak mudah mengaku kalah sambil mengerah tenaga bergelut dengan haiwan itu.

“Selepas harimau terbabit beredar, saya  terpaksa menunggang motosikal dalam keadaan berlumuran darah sebelum mendapat bantuan penduduk kampung,” katanya di sini hari ini.

Robiah menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Ab. Aziz Yusoff yang melawatnya kerana keadaan diri yang uzur.

Menurut Robiah, dia kini menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis, penyakit jantung dan gout sehingga tidak mampu melakukan sebarang kerja.

Katanya, dia juga berdepan dengan masalah berat badan berlebihan (obesiti) hingga melebihi 160 kilogram.

“Selepas kejadian itu saya juga terpaksa berhenti menoreh getah kerana masih trauma sehingga sekarang dan mengharapkan pendapatan daripada suami, Rashid Mahmud, 60, yang bekerja kampung sekitar RM700 sebulan.

“Bagaimanapun, suami saya pula meninggal dunia dua minggu lalu dan keadaan kesihatan sendiri pula semakin tidak stabil," katanya. - K! ONLINE