Beliau berkata, bagaimanapun paparan awam akan diadakan selama tiga bulan untuk mendapat maklum balas awam mengenai projek tersebut.

"Dua hari lepas syarikat kerajaan yang mengawal pembangunan projek ECRL iaitu Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) telah berjumpa saya di pejabat dan mereka telah membincangkan jajaran tetapi masih belum ada jajaran yang sebenar...masih di peringkat kajian awal. Kita sedia maklum bahawa Jelebu memang merupakan satu daerah yang sebelum ini kita tidak tahu bagaimana hendak bangunkan secara khusus yang mana hanya kita letakkan sebagai daerah pengeluar makanan.

"Tetapi apabila projek ECRL itu melalui sebahagian Pertang, Chennah dan Klawang, jadi kita lihat inilah peluang yang besar pada daerah Jelebu khususnya. Di Jelebu eko-pelancongan merupakan aset terbesar di mana kita ada Taman Negeri Kenaboi (TNK) yang mana di dalam TNK itu akan dibina dan telah diluluskan Pusat Konservasi Tapir. Ini melibatkan kos yang besar di mana di dalam TNK tersebut akan ada bagaimana pembiakan, pemeliharaan dan kajian Tapir dijalankan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Malah, katanya TNK mempunyai banyak flora dan fauna serta banyak tempat menarik seperti Muzium Adat, Jeram Toi, Lata Kijang, Titi Eco Farm dan Homestay Klawang.

Katanya, Negeri Sembilan adalah negeri yang paling hampir dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Putrajaya dan Kuala Lumpur dan dengan adanya ECRL ini, ia akan menambah bilangan pelancong ke Jelebu.

"Saya yakin Jelebu akan pesat membangun termasuk projek perumahan dengan adanya ECRL," katanya.

Daerah Jelebu, yang juga sebuah daerah luar bandar bakal berubah wajah apabila projek ECRL yang disambung semula pelaksanaannya, turut melalui kawasan ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan pada 12 April lepas mengumumkan projek ECRL akan disambung semula pada kos lebih rendah susulan pemeteraian perjanjian tambahan (SA) di antara MRL dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

Menurut kenyataan itu, kos pembinaan Fasa 1 dan 2 ECRL kini dikurangkan kepada RM44 bilion, pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asalnya RM65.5 bilion.

Pembinaan ECRL berkenaan akan menyaksikan jajaran baharu iaitu Kota Bharu-Mentakab-Jelebu-Kuala Kelawang-Bangi/Kajang-Putrajaya dan seterusnya Pelabuhan Klang. - Bernama