Karya arahan Dain Said itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton yang berminat de­ngan kisah-kisah seram dan menakutkan. Filem itu ditayangkan selepas selesai menjalani penggambaran 12 tahun lalu. 

Persoalan sama ada Dukun akan mencatatkan kutipan tiket paling tinggi di Malaysia bakal ditentukan oleh penonton di negara ini tidak lama lagi. 

Sebelum ini, filem yang menyeramkan iaitu Munafik berjaya mendapat kutipan tiket sehingga RM17.04 juta pada 2016.

Sejak zaman merdeka lagi, banyak filem hantu dan seram yang mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton seperti Sumpah Orang Minyak, Ngangkung, Rahsia, Hantu Kak Limah Balik Rumah dan Pontianak Harum Sundal Malam.

Cerita-cerita hantu dan ilmu hitam sememangnya mempunyai daya tarikan yang tersendiri. Ia bukan ha­nya terdapat di Malaysia tetapi di seluruh dunia. 

Kisah-kisah seram dan mengerikan itu juga dijadikan filem di kebanyakan negara seperti di Amerika Syarikat (AS). Filem keluaran Hollywood berjudul Annabelle: Creation juga pernah mendapat sambutan menggalakkan di negara ini.

Sebahagian penonton pula akan diselubungi ketakutan, ada yang menutup mata ketika menyaksikan filem hantu sama ada di dalam pawagam atau di rumah. Pe­rasaan takut itu muncul ketika adegan menyeramkan hasil garapan pengarah ditayangkan pada skrin.   
Penulis juga pernah menonton filem-filem seram. Ada penonton sanggup menutup mata dengan tangan ketika melihat adegan menyeramkan sambil menjerit di dalam pawagam.

Bukan sahaja filem, buku-buku mengenai ilmu hitam dan hantu juga dijual di pasaran. Malah, bekas Resi­den Jeneral Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Frank Swettenham pernah merakamkan pengalamannya me­ngenai orang Melayu dengan hantu dalam buku Malay Sketches pada tahun 1884.

Pada kebiasaannya, rupa hantu yang digambarkan dalam cerita lisan tempatan dan luar negara adalah menakutkan serta mengerikan. Kamus Dewan dan Pustaka pula mentakrifkan hantu sebagai ciptaan khayalan manusia yang menakutkan atau menggerunkan.  
Berdasarkan tradisi lisan masyarakat Melayu, terdapat juga hantu wanita yang cantik tetapi setakat ini penulis tidak pernah menemui atau melihat untuk mengesahkan dakwaan itu.  

Bagaimanapun, terdapat banyak kajian di luar negara dilakukan oleh ahli akademik dan pakar psikologi bagi mengetahui punca yang menyebabkan ramai orang suka menonton filem-filem seram.

Seorang pengkaji filem dari Universiti Inland Norway, Soren Birkvad berkata, penonton gemar menontonnya kerana ia merupakan salah satu bentuk hiburan yang berjaya melarikan diri daripada kebosanan.

Satu lagi kajian dari Universiti California, Berkeley, AS mendapati penonton mungkin berasa seronok untuk ditakutkan ketika menonton filem seram.  

Kajian-kajian tersebut dibuat bagi mencari punca kenapa terdapat ramai orang terlalu berminat untuk menonton filem seram sehingga karya kreatif itu berjaya mencatatkan kutipan tiket yang tinggi. 

Penulis berpendapat kajian-kajian itu boleh dilakukan oleh para pensyarah di negara ini untuk mengkaji sikap penonton terhadap filem seram.

Kajian-kajian tersebut juga boleh membantu memahami sikap masyarakat Malaysia yang gemar menyaksikan filem-filem tersebut.