Ternyata, misi promosi usahawan bumiputera itu berjaya kerana produk pembersih fabrik yang dilancarkan itu telah mencatat jualan menggalakkan iaitu sebanyak 10,000 unit dalam masa seminggu.

Menurut peniaga itu, dengan hanya melalui semburan ke atas kotoran yang melekat pada pakaian dan tudung, masalah pelanggan dapat diselesaikan dengan segera. Disebabkan faktor tersebut, ia kini menjadi produk po­pular yang perlu ada di dalam setiap beg tangan wanita.

Itu merupakan salah satu cerita gembira yang sering dikongsikan di dalam media sosial dan elektronik me­ngenai kejayaan syarikat bumiputera dalam mempromosikan produk dan perkhidmatan masing-masing.

Menyebut tentang produk instant, ramai usahawan kini cuba mencari ruang dan peluang untuk menembusi segmen perniagaan berkenaan kerana ia berpotensi malah menjanjikan hasil pendapatan yang lumayan dalam masa singkat.

Ia bukan sahaja daripada segmen kecantikan diri se­perti instant shawl tetapi juga daripada aspek produk penjagaan kecantikan untuk mengatasi masalah jerawat dan jeragat yang sering dibimbangi oleh kaum wanita malah bagi segmen produk penjagaan kesihatan yang melibatkan pengenalan produk menguruskan badan serta me­rawat penyakit kencing manis, sakit jantung dan sakit sendi.

Bagi pelanggan yang berani mengambil risiko untuk merawat jerawat dan jeragat yang dihidapi, pasti produk instant bakal menjadi pilihan kerana gimik iklannya yang meyakinkan sedangkan kajian mendalam tidak dilakukan terlebih dulu.

Impaknya, kulit wajah yang hanya mengalami sedikit masalah jerawat terpaksa berdepan dengan masalah lain yang boleh mengubah kulit wajah menjadi lebih teruk malah terdedah kepada risiko penyakit kulit.

Begitu juga dengan keterujaan syarikat pengeluar tempatan memperkenalkan pelbagai jus kesihatan daripada herba dan bahan mentah yang diproses untuk membantu meningkatkan kualiti kesihatan pelanggan.

Bergantung kepada testimoni pelanggan yang telah mencuba dan ia berjaya membantu menyelesaikan masalah penyakit yang dihadapi, pastinya produk itu bakal menarik minat pelanggan baharu untuk mencubanya.

Bagi produk yang bersesuaian dengan tahap penyakit pelanggan, mungkin ia berjaya menyelesaikan masalah mereka dalam masa singkat tetapi persoalannya adakah ia benar-benar berkesan untuk jangka masa panjang?

Apa yang dibimbangkan kini, jumlah pelanggan yang dirawat di hospital akibat pengambilan produk penja­gaan kesihatan dan kecantikan semakin bertambah.

Ada pelanggan yang mengamalkan jus kesihatan sebagai usaha awalnya untuk meningkatkan kualiti kesihatan diri tetapi sebaliknya produk berkenaan telah memberi kemudaratan sehingga pelanggan itu menghidap pe­nyakit buah pinggang.

Ketika itu sesalan mengganggu kehidupannya kerana terpaksa dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.Sehubungan itu, pelanggan perlu membuat pilihan terbaik untuk membeli produk segera dengan membuat kajian terlebih dulu terhadap syarikat dan bahan mentah yang digunakan. Jangan terpedaya dengan gimik menarik tentang produk mereka di media sosial.