Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan telah merumuskan beberapa langkah komprehensif bagi menyelesaikan isu kesesakan di Tambah Johor selepas Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemim­pin Malaysia-Singapura Kelapan di Singapura pada 16 Januari lalu.

“Langkah pengurangan kadar levi dan tol ini dijangka dapat mengurangkan kenderaan komersial di Tambah Johor sebanyak 40 peratus,” katanya menerusi satu kenyataan dikeluarkan di sini hari ini. 

Pengurangan tersebut membabitkan levi kepada kenderaan komersial sebanyak RM50 bagi kedua-dua laluan keluar dan masuk ke Malaysia berbanding pada kadar RM100 hingga RM200 yang dikenakan sebelum ini.

Selain itu, caj tol di luar waktu puncak bagi Linkedua iaitu antara jam 10 pagi hingga 3 petang dan 11 malam hingga 5 pagi untuk semua kenderaan kecuali motosikal juga dikurangan antara 47 peratus hingga 82 peratus mengikut kelas kenderaan.

Kadar baharu selepas pengurangan tersebut ialah kenderaan persendirian kini cuma RM4 berbanding RM7.50 sebelum ini, teksi RM3 (RM5.70), bas RM4.50 (RM9.10) manakala kenderaan komersial bagi kelas 2 dan 3 dikurangkan daripada RM17.10 dan RM34.30 kepada RM4.50 dan RM6.10 sama seperti kadar di Tambak Johor.

Langkah lain yang sedang diambil oleh kerajaan adalah pembinaan projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura yang menghubungkan stesen Bukit Chagar di Johor Bahru dan Woodlands North, Singapura.

“Perkhidmatan ini dijangka dapat beroperasi pada 2024 dan membawa 10,000 penumpang dari satu arah dalam masa satu jam. RTS dijangka meengurangkan masa perjalanan antara kedua-dua negara kepada 30 minit berbanding lebih sejam pada masa ini,” jelas Perdana Menteri.

Selain itu, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) juga akan meningkatkan kekerapan perkhidmatan ulangalik Shuttle Tebrau daripada 26 perjalanan kepada 31 perjalanan setiap hari dan membolehkan KTMB membawa 1,500 penumpang tambahan menyeberangi Tambak Johor yang ketika ini berjumlah 7,783 sehari. - K! ONLINE