Menurut kenyataan Jemaah Menteri yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri, ketetapan itu dicapai dalam mesyuarat mingguan yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail hari ini.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kini berada di luar negara untuk lawatan rasmi dan lawatan kerja.

Jemaah Menteri dalam kenyataan itu menolak pemikiran dan pendirian sempit berasaskan sentimen perkauman yang cuba dimainkan oleh pihak tertentu kerana ia boleh menjejaskan keharmonian dan kesejahteraan negara.

"Sebaliknya rakyat diseru untuk menyokong kempen beli barangan buatan Malaysia kerana ia akan memberi kebaikan kepada negara," kata jemaah menteri.

Mutakhir ini, terdapat kempen yang berterusan di media sosial oleh pihak tertentu yang meminta orang ramai supaya memboikot produk bukan Islam.

Mahathir sebelum ini dilaporkan berkata, tindakan memboikot produk bukan Islam adalah tindakan mereka yang cetek fikiran dan gerakan seperti itu tidak akan mendatangkan kesan yang besar, malahan hanya akan mengundang api kemarahan. - Bernama