Majistret Siti Hafiza Jaafar menjatuhkan hukuman tersebut kepada Thur Aqil Zaharuddin, 20, selepas dia mengaku bersalah selepas dua pertuduhan terhadapnya dibacakan. 

Mengikut pertuduhan pertama, Thur Aqil didakwa menyalahgunakan satu kad inden Petronas berjumlah RM12,066 milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk kegunaan peribadi di Stesen Minyak Petronas Kampung Simee di sini antara 3 hingga 18 Julai lalu. 

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. 

Thur Aqil turut didakwa mencuri harta kerajaan iaitu satu kad inden Petronas milik Polis Diraja Malaysia yang disimpan dalam satu beg simpanan di stesen minyak sama pada tarikh sama.

Bagi kesalahan ini, dia didakwa di bawah Seksyen 382 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Irna Julieza Maaras manakala tertuduh diwakili peguam M. Thangaveloo dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Siti Hafiza Jaafar menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan satu sebatan terhadap tertuduh bagi pertuduhan pertama dan enam bulan penjara bagi pertuduhan kedua.

Bagaimanapun perintah hukuman penjara tersebut dijalankan secara serentak sejak tertuduh ditangkap pada 19 Julai lalu. - K! ONLINE