Mangsa, Juriza Muda, 36, yang bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat penyelenggaraan industri pemprosesan minyak di Kawasan Perindustrian Kerteh, Kemaman itu dijumpai terbaring di atas tanah bersebelahan kereta Proton Wira miliknya kira-kira pukul 9.30 malam.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superitenden Baharudin Abdullah berkata, mayat lelaki terbabit ditemui oleh dua anggota dari Balai Polis Paka yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah di sekitar kawasan berkenaan.

Menurut Baharudin, mangsa dijumpai berdekatan dengan pagar sebuah rumah yang sedang dibina dan tidak jauh dari kediamannya.

"Selepas melihat sebuah kenderaan berada dalam keadaan mencurigakan kerana lampu serta pintunya yang terbuka, kedua-dua anggota terbabit bertindak menghampiri lokasi kejadian dan ternampak jasad seorang lelaki terbaring di atas tanah.

"Pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Bandar Paka di sini yang tiba tidak lama kemudian turut mengesahkan mangsa sudah pun meninggal dunia," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Tambah Baharudin, identiti mangsa telah disahkan oleh isterinya selepas kejadian tersebut.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas mangsa juga tidak menemui sebarang unsur-unsur jenayah dan mayatnya telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun di sini bagi proses bedah siasat. - K! ONLINE