Dalam kejadian kira-kira 30 Mei lalu, mangsa berusia 39 tahun telah menerima panggilan telefon daripada seorang suspek yang mendakwa dari Mahkamah Kuala Lumpur berhubung tunggakan berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa yang pada mulanya menafikan perkara berkenaan telah disambungkan panggilan kepada kononnya Ibu Pejabat Polis Kontijen Kuala Lumpur yang mengatakan waran tangkap telah dikeluarkan.

"Suspek kemudian mengarahkan mangsa untuk mendedahkan nombor akaun beserta nombor pin bagi menjalankan siasatan.

"Mangsa kemudian mendedahkan maklumat akaun Bank Rakyat kepada suspek sebelum diarahkan supaya memasukkan duit tunggakkan berjumlah RM218,060 ke dalam akaun tersebut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambahnya, selepas mangsa melakukan transaksi pemindahan wang, dia mendapati wang berkenaan telah dipindahkan ke beberapa akaun lain sebelum membuat laporan polis semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. - K! ONLINE