Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi, mangsa, Rudy Alpian Zahari, 37, atau mesra dipanggil Aechik ditemui terbaring di atas katil di dalam sebuah rumah tanpa nombor yang didiami sejak tiga minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdullah Ronning berkata, mangsa ditemui terbaring di atas katil oleh rakan serumah iaitu seorang lelaki berusia 47 tahun semasa ingin mengajaknya bekerja membuat gubahan bunga di sebuah sekolah di sini kira-kira pukul 10 pagi.

"Sebaik rakannya itu mengejutkan mangsa, dia mendapati mangsa tidak bangun selain badannya telah sejuk. 

"Kali terakhir lelaki itu berbual dengan mangsa di ruang tamu ialah kira-kira pukul 12 tengah malam kelmarin," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Abdullah berkata, hasil pemeriksaan tempat kejadian mendapati bilik tidur itu dalam keadaan kemas tanpa kesan geledah manakala beg tangan dan telefon bimbit mangsa tidak diusik.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematiannya. Hasil pemeriksaan pihak hospital di badan mangsa menemui kesan darah pada leher sebelah kiri dan kanan," katanya. - K! ONLINE.