Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil negeri, Annuar Amri Abd. Muluf berkata, wanita berusia 24 tahun itu menerima tawaran pinjaman wang daripada sebuah syarikat melalui aplikasi WhatsApp pada 2 Julai lalu.

"Mangsa menerima satu mesej daripada nombor telefon 014-6036088 melalui aplikasi Whatsapp daripada seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai Kent.

"Individu itu mengaku sebagai ejen pinjaman wang sebuah syarikat iaitu Agensi YMS," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, syarikat tersebut menawarkan pinjaman wang sebanyak RM250,000 kepada mangsa yang mahu membuka sebuah kafe di sini.

"Mangsa yang membuat permohonan pinjaman wang itu kemudian menerima satu khidmat pesanan ringkas daripada talian 62033 menyatakan permohonannya telah diluluskan," ujarnya.

Kata beliau, wanita itu bagaimanapun diminta untuk membuat pelbagai bayaran ke dalam beberapa akaun bank sebagai wang proses sebelum wang pinjaman RM250,000 dimasukkan ke dalam akaun mangsa.

"Mangsa yang percaya telah melakukan 14 kali transaksi ke dalam lapan akaun bank tempatan yang berbeza melalui pemindahan wang secara dalam talian dan di kaunter bank.

"Dia membuat bayaran yang diminta sehingga mengakibatkannya kerugian sebanyak RM182,340 yang mana wang itu merupakan wang simpanan mangsa serta pinjaman daripada rakan sekerja," jelasnya.

Menurut Annuar Amri, mangsa kemudian membuat keputusan untuk tidak meneruskan pinjaman berkenaan, namun ejen meminta wanita itu membuat bayaran sebanyak RM25,000 jika tidak mahu wang dibekukan Bank Negara Malaysia. 

"Mangsa yang menyedari ditipu membuat laporan polis pada semalam," katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau pada masa sama mendedahkan sebanyak 171 kes melibatkan modus operandi sama dilaporkan di negeri ini antara Januari hingga Jun lalu yang melibatkan kerugian sebanyak RM1.1 juta.

"Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 26 kes berbanding pada tahun lalu," katanya. -K! ONLINE