Dalam kejadian pukul 6.30 petang itu, suspek yang berusia 28 tahun tersebut ditangkap ketika membawa muatan 38 biji tong gas, 950 kilogram (kg) minyak masak, 950 kg gula menggunakan bot jongkong.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau, Deputi Superitendan Mohd. Nazri Ibrahim berkata, pemeriksaan lanjut mendapati lelaki berkenaan gagal mengemukakan dokumen kebenaran untuk membawa keluar kesemua barang kawalan tersebut dari negeri ini.

"Berdasarkan maklumat awam dan rondaan berkala, PPM yang sedang menjalankan tugas berjaya memintas sebuah bot jongkong di perairan Sungai Haji Kuning dekat sini.

"Pemeriksaan di dalam bot itu menemui muatan pelbagai barang kawalan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang disyaki untuk diseludup keluar ke negara jiran," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sehubungan itu, pihak PPM turut bertindak merampas tong gas bernilai RM7,600, minyak masak bernilai RM2,850 dan gula bernilai RM2,660.

"Dua enjin sangkut bernilai RM24,000 berserta bot bernilai RM10,000 juga dirampas untuk tindakan lanjut," jelasnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. - K! ONLINE