Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintenden Lim Chee Khoon berkata, serbuan menerusi Ops Lejang itu bertujuan bagi mengesan sebuah motosikal dilaporkan hilang pada 16 Ogos lalu di Jalan Haji Dahlan, Parit 11 Barat Sungai Besar.

Katanya, menerusi operasi tersebut pihaknya menahan seorang lelaki berusia 32 tahun yang didapati menggunakan rumah tersebut sebagai lokasi pengedaran dadah sejak dua bulan lalu.

"Hasil pemeriksaan terhadap suspek menemui tujuh peket lut sinar disyaki heroin seberat 8.18 gram bernilai RM250 di dalam poket bahagian depan kanan seluar jeans dipakai suspek.

"Kita turut menemui sebuah motosikal curi jenis Yamaha Y125," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan lanjut mendapati suspek mendapat motosikal tersebut hasil pertukaran sejumlah dadah dengan salah seorang pembelinya.

Chee Khoon menjelaskan hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis morfin.

"Semakan mendapati suspek memiliki sembilan rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya. - K! ONLINE