Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2019 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini, lebih banyak peluang pekerjaan baharu dijangka wujud dalam ekonomi dan kadar pengangguran diunjur kekal 3.3 peratus.

Daripada jumlah penduduk bekerja, sektor perkhidmatan dijangka menyaksikan penambahan 300,000 pekerja (9.3 juta) pada 2019 berbanding 9 juta yang direkodkan pada 2018.

"Sementara itu, jumlah pekerja dalam sektor pembuatan dan pertanian diunjur kekal 2.5 juta dan 1.9 juta pada 2018 dan 2019," menurut laporan itu.

Bagi tempoh separuh pertama 2018, sebanyak 550,449 kekosongan pekerjaan dicatat manakala pencari kerja aktif berkurang sebanyak 22.3 peratus kepada  241,046 dengan 1.7 peratus merupakan pendaftar baharu.

"Selaras dengan keadaan pasaran buruh yang menggalakkan, bilangan pekerja yang diberhentikan kekal rendah iaitu 9,249 orang," menurut laporan itu.

Laporan itu juga menyebut bilangan pekerja asing yang berdaftar sehingga Ogos 2018 berkurang kepada 1.7 juta.

Peratusan pekerja asing daripada jumlah guna tenaga kekal rendah pada 12 peratus berikutan usaha kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah supaya tidak melebihi 15 peratus daripada jumlah guna tenaga pada 2020.

"Sebahagian besar pekerja asing berasal dari Indonesia (39 peratus), Nepal (20.9 peratus) dan Bangladesh (18 peratus) dengan sektor pembuatan menggaji sebahagian besar pekerja asing diikuti sektor pembinaan dan perladangan," menurut laporan itu.

Selain itu, laporan berkenaan turut mengunjurkan produktiviti buruh mencapai RM85,600 pada 2019 berikutan peningkatan produktiviti dalam sektor pembuatan (3.9 peratus) dan pembinaan (3.4 peratus).

Bagaimanapun pertumbuhan produktiviti sektor perkhidmatan dijangka berkurang 3 peratus, menurut laporan berkenaan. - Bernama