Kes-kes seperti 10 lelaki dicekup polis kerana bermain judi sabung ayam di dalam kebun getah di Kampung Batu Gajah, Jitra, Kedah tahun lalu dan polis Selangor menahan 31 warga asing­ dalam serbuan di sebuah pusat judi online di Rawang pada 4 Mac lalu sering terpampang di dada akhbar.

Bukan sahaja perjudian bersifat konvensional seperti sabung ayam dan nombor ekor, masyarakat kini turut dihantui perjudian secara online sama ada menggunakan komputer atau telefon bimbit. Malah, perjudian online menggunakan telefon bimbit atau tablet menjadi trend terkini sindiket judi bagi me­ngaut keuntungan dengan cara yang mudah.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim dalam satu sidang akhbar pada tahun lalu berkata, antara modus operandi judi online (JOL) itu termasuklah mengumpulkan seramai lima hingga enam orang di restoran atau premis yang sunyi untuk berjudi antara mereka.

“Penjaga premis memberikan tablet atau telefon bimbit dan menandakan nombor di belakang gajet bagi memudahkan urusan penyelia JOL memasukkan kredit untuk berjudi. Wang kemenangan pula akan diberikan secara tunai.

“Modus operandi kedua pula memerlukan pemain memuat turun aplikasi judi online dan jika menang, pemain akan dibayar melalui transaksi wang ke dalam akaun bank mereka,” ­jelasnya.

Dalam pada itu, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md. Ikshan pada tahun lalu pernah menyatakan, menerusi bancian yang dibuat oleh kementeriannya dua tahun lalu, terdapat 615 premis haram terdiri daripada premis judi dan premis yang berselindung di sebalik perniagaan pusat hiburan keluarga beroperasi di sekitar Kuala Lumpur.

Selain menyasarkan pelanggan dalam kalangan dewasa, golongan kanak-kanak atau remaja juga tidak terlepas daripada sasaran sindiket judi atau pihak yang ingin mengaut keuntungan mudah.

Baru-baru ini, ketika mengunjungi sebuah pasar raya di Lembah Klang, penulis ternampak sekumpulan kanak-kanak mengelilingi sebuah mesin layan diri. Apabila didekati, mereka sedang asyik membuka beberapa kotak yang dibeli melalui mesin layan diri itu.

Setelah dibuka, kotak itu hanya mengandungi rantai kunci dan mainan. Kanak-kanak lingkungan usia belasan tahun itu tidak berpuas hati dan memasukkan beberapa keping not RM10 ke dalam mesin layan diri tersebut.

Salah seorang kanak-kanak itu telah membelanjakan RM100 bagi mendapatkan 10 kotak daripada mesin berkenaan. Walaupun memenangi beberapa hadiah, wajahnya tidak menunjukkan sebarang tanda kepuasan.

Setelah kesemua kanak-kanak itu beredar, penulis mendekati mesin layan diri itu dan membaca poster yang terpapar pada mesin berkenaan. Rupa-rupanya kanak-kanak itu inginkan hadiah yang lebih lumayan seperti permainan skuter, permainan video dan basikal. Setiap satu kotak itu berharga RM10.

Keadaan itu mengecewakan penulis kerana permainan tersebut mempunyai unsur-unsur perjudian kerana pembeli hanya berharap kepada tuah untuk memenangi hadiah menarik. Keadaan itu juga menyebabkan kanak-kanak terpaksa menghabiskan dua simpanan mereka dalam usaha untuk memperoleh hadiah menarik tersebut, namun ia tidak berbaloi apabila sekadar memperoleh hadiah yang nilainya kurang RM5.

Sehubungan itu, penulis berharap pihak berkuasa dapat memantau aktiviti berkenaan kerana jika dibiarkan berlanjutan akan menimbulkan masalah kepada keluarga kanak-kanak yang terlibat.

Selain itu, ia boleh menimbulkan ketagihan kepada kanak-kanak dan dikhuatiri mereka boleh bertindak di luar dugaan dengan mencuri wang rakan atau ahli keluarga semata-mata untuk membeli kotak-kotak tersebut yang harganya boleh ­dikatakan agak mahal.