Ini berikutan santan segar memberikan rasa lebih segar dan lebih lemak pada masakan.

Seorang peniaga, Hilmie Karim, 60, berkata, permintaan terhadap bahan masakan itu mencecah jualan sehingga 1,500 biji sehari berbanding 300 biji pada hari biasa.

Katanya, kebanyakan stok kelapa diperoleh menerusi kelapa import berbanding kepala tempatan.

"Ada juga pelanggan yang membuat tempahan awal sehingga 15 plastik santan untuk dihantar ke kedai mereka berdekatan sini.

"Bagaimanapun, tiada pembelian panik sehingga mengakibatkan harganya meningkat berikutan stok masih ada," katanya ketika ditemui Kosmo! Online di Pasar Seksyen 6 di sini hari ini.

Berdasarkan tinjauan Kosmo! Online mendapati harga santan dijual RM8 hingga RM15 bergantung kepada kepekatan santan tersebut.

Pekerja kedai, Mohamad Dua, 30, memberitahu, permintaan terhadap semakin melonjak terutama pada penghujung Ramadan.

"Ini berikutan ramai yang ingin membuat persiapan juadah atau peniaga yang menjual lemang dan rendang sehingga pagi raya," katanya.

Dalam pada itu, seorang pekerja swasta, Rafidah Abdul Aziz, 43, menjelaskan, pemilihan santan ini terserah pada individu sama ada lebih gemar memilih santan segera atau santan segar.

"Hari ini saya membeli empat kilogram santan bagi membuat rendang dan harga jualan lebih kurang sama seperti tahun sebelumnya.

"Santan kotak lebih muda disimpan dan tahan lama namun santan asli lebih memberikan keenakan pada masakan," katanya. - K! ONLINE