Dalam serbuan pukul 12 tengah hari oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor merampas 92 pakaian termasuk baju sejuk jenama Kenzo dan Givenchy bernilai RM44,750. 

Turut ditahan adalah pemilik dan pengurus premis berusia 30 dan 37 tahun.

Pengarah KPDNHEP negeri, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, operasi itu adalah hasil aduan daripada wakil syarikat pemegang Cap Dagangan bagi kedua-dua jenama tersebut.

Katanya, jualan murah itu baharu sahaja berlangsung tiga hari di premis berkenaan. 

"Berdasarkan siasatan awal, pakaian tiruan itu dijual pada harga RM650 hingga RM800 menerusi jualan murah berkenaan.

"Sekiranya tiada potongan harga, suspek didapati menjualnya sehingga RM3, 000 sedangkan modal untuk pakaian tiruan diperoleh dari negara China itu serendah RM25 sahaja," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini. 

Beliau memberitahu, suspek juga didapati akan keluar masuk mana-mana pusat beli-belah atau pasar raya dengan mengadakan promosi jualan murah. 

Ujar Muhamad Zikril, menerusi serbuan itu sebanyak 70 helai baju T dan lima helai baju sejuk jenama Kenzo telah dirampas pihaknya. 

"Kita turut merampas 16 helai baju T dan sehelai baju sejuk jenama Givenchy. 

"Nilai kesemua rampasan bernilai RM 44,750 dengan barangan kini ditempatkan di stor penyimpanan KPDNHEP di Bukit Raja di sini," katanya. 

Jelas beliau, kedua-dua suspek kini direman selama lima hari dengan kes disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011. - K! ONLINE