Kesalahan itu dikesan dalam operasi bersepadu oleh Pejabat Kesihatan Kemaman, MPK dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di sini kelmarin.

Pegawai Kesihatan Daerah Kemaman, Dr. Mohd Anuar Abd Rahman berkata, pihaknya mengeluarkan dua notis kesalahan berjumlah RM7,000 kepada pasar raya terbabit atas kesalahan menjual makanan telah rosak.

“Dua notis yang dikeluarkan pada operasi hari ini (kelmarin) merupakan yang pertama dilakukan di Terengganu sejak arahan pe­nguatkuasaan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dikuatkuasakan bermula awal tahun ini.

“Pemeriksaan melibatkan 531 produk makanan membabitkan 350 kes telah tamat tarikh luput, kemek (28), rosak (23) dan satu bagi kes kesalahan label,” katanya ketika ditemui Kos­mo! di sini kelmarin.

Mohd. Anuar berkata, kese­mua produk makanan yang dirampas dianggarkan bernilai keseluruhan RM2,132.21 dan keba­nyakan makanan yang rosak terdiri daripada tenusu, ketupat segera, minuman tenaga, pasta dan baulu.

Menurut beliau, ada juga produk makanan yang telah tamat tempoh dari tahun lepas, tetapi masih dipamerkan di ruang jualan selain buah-buahan serta sayur yang dicampur antara yang masih segar dengan rosak serta berkulat.

Dalam perkemba­ngan sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Awam dan Alam Sekitar MPK, Zulkifli Tahar berkata, pihaknya turut mengeluarkan empat kompaun berjumlah RM2,625 mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MPK 2013 ke atas tiga buah pasa raya terlibat.

Beliau berkata, antara ke­salahan yang dikesan ialah membiarkan premis dalam keadaan tidak bersih terutama di ruang pamer makanan, ruang penyimpanan bahan mentah yang tidak diselanggara dan gagal mempamer lesen perniagaan.