Pengarah Bahagian Standard Perburuhan JTKSM, Mohd. Asri Abdul Wahab berkata, operasi itu bertujuan mengesan pelanggaran undang-undang perburuhan oleh pemilik restoran.

Menurut beliau, antara kesalahan yang dikesan dalam operasi itu antaranya seperti kegagalan pemilik restoran menyediakan tempat tinggal yang selesa kepada pekerja warga asingnya.

"Sebuah restoran didapati membiarkan pekerjanya yang merupakan warga India dan Bangladesh tidur atas lantai dengan tilam nipis serta tahap kebersihan premis tidak dijaga.

"Dalam pemeriksaan hari ini kita mahu memastikan majikan mematuhi peraturan di bawah Akta Kerja 1955 antaranya berhubung gaji pekerja dan penempatan," katanya pada sidang akhbar operasi tersebut di sini hari ini.

Mohd. Asri menjelaskan, terdapat garis panduan tentang tempat tinggal pekerja seperti perlu disediakan tilam, bilik air yang sesuai dengan jumlah penghuni dan setiap pekerja memiliki almari berkunci untuk simpan dokumen yang perlu dipatuhi majikan.

Kata beliau, operasi itu turut membuat pemeriksaan kemungkinan berlaku jenayah pemerdagangan manusia dilakukan oleh golongan majikan.

Justeru, beliau mengingatkan majikan supaya mematuhi peraturan, manakala pekerja pula diminta tampil membuat laporan sekiranya hak mereka dinafikan.

"Kertas siasatan akan dibuka terhadap majikan yang disyaki melakukan kesalahan dalam operasi itu dan mereka boleh didenda sehingga RM10,000 jika sabit kesalahan. 

"Sehingga Jun lalu, sebanyak 143 kes melibatkan majikan telah didakwa di mahkamah dan 225 kes diberikan tawaran kompaun," ujarnya. - K! ONLINE